Monday, January 28, 2013

Kisah Pengembala dalam Bible


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dalam misi mencari kisah gembala kambing Nabi Ibrahim A.S, saya banyak menjumpai kisah-kisah pengembala dalam Bible. Pengembala adalah mereka yang merawat, memberi makan dan menjaga kawanan biri-biri. Selalu disebut didalam Bible. Perkataan Pengembala dalam Hebrew, Old Testament disebut raw-aw, dalam Greek, New Testament disebut poy-main. Dalam Inggeris kadang kala digunakan pastor. [2]

Dalam bahasa Arab disebut Ar-Ra’i, boleh guna Google Translate untuk dapatkan perkataan arabnya. Dalam hadith Nabi Muhammad S.A.W, baginda ada menggunakan perkataan gembala. Antara hadith yang mahsyur adalah hadith “Setiap kamu adalah pengembala dan setiap kamu diminta bertanggungjawab keatas gembalaannya..” yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim.

Berbalik kepada kisah pengembala dalam Bible. Mungkin ada dari kalangan tuan-tuan akan melenting, kenapa tidak dikaji Al-Qur’an? Saya cuma ingin berkongsi, hasil penemuan dalam misi mencari kisah-kisah para Nabi yang menjadi pengembala. Hasil penemuan saya ini adalah rumusan daripada sinopsis-sinopsis Bible dalam web-web berkenaan. Tidak dinafikan, isi kandungan Al-Qur’an itu adalah mutlak, terbatal kitab-kitab sebelumnya. Apa yang ada dalam kitab sebelumnya, ada dalam Al-Qur’an. Menjadikan kitab Kalamullah ini satu naskhah suci yang padat, lengkap dengan tersurat dan tersiratnya untuk umat Nabi Muhammad S.A.W. Secara logiknya, supaya kita berpegang pada yang satu, daripada yang satu ini kita bersatu menjadi ummah yang agung. Allahu akbar!

Di dalam Bible, kisah pengembala ini bermula dengan Cain (Qabil) and Abel (Habil), Genesis 4:2. [1] Cain dan Abel diperintahkan untuk berkorban dengan hasil usaha mereka, Cain dengan tanamannya dan Abel dengan biri-birinya, dan. Biri-biri Abel diterima Tuhan, membuatkan Cain cemburu lantas membunuh saudaranya itu. Maka berlakulah pembunuhan manusia atau homicide pertama di atas muka bumi. Sama dengan kisah Habil dan Qabil.

Seterusnya adalah kisah Abraham atau dalam Islam, Nabi Ibrahim A.S. Kisah ini terdapat dalam Genesis 12:14-20, Abraham pergi ke Mesir bersama isterinya Sarai (Siti Sarah). [1] Firaun suka sangat dengan Sarai ni. Disebabkan dia suka, dia telah beri Abraham biri-biri, lembu, unta, dan orang gaji. Rancangan firaun gagal apabila Tuhan menghantar wabak kepadanya dan rancangan telah diketahui ramai. Disebabkan itu, firaun telah menghalau mereka. Dan ini menjadikan Abraham kaya raya dengan ternakan yang diperoleh daripada firaun itu.

Namun begitu, apa yang saya baca mengenai Nabi Ibrahim A.S, tidak pula disebut firaun memberi biri-biri, tetapi hanya memberi Siti Hajar. [4] Ini kerana setiap kali firaun cuba memperkosa Siti Sarah, dia akan menjadi kaku. Jadi dia mula sedar baginda bukan calang-calang orang. Di sini kita perlu kaji lagi, banyakkan membaca sirah-sirah para anbiya’.

Dan antara pengembala lain yang top dalam Bible adalah Jacob; Genesis 30:31 (Nabi Yaakob A.S), Rachel; Genesis 29:9 (Rahil, isteri Nabi Yaakob A.S), Moses; Exodus 3:1 (Nabi Musa A.S), David; Psalm 23:1-6 (Nabi Daud) dan Yeshua; Jesus (Nabi Isa A.S). [1][2][3] Terdapat banyak lagi nama yang disebut dalam Bible berkait dengan pengembala. Saya menyatakan nama para Nabi dan Rahil dalam kurungan untuk memberi gambaran kepada tuan-tuan siapakah mereka dalam Islam.

Kita perlu banyak membaca dan mengkaji sirah para Nabi kita ini. Rasul ada 315 orang dan Nabi ada 124,000 orang. Yang wajib kita ketahui 25 orang. Dan daripada 25 orang ini, 5 orang adalah Ulul Azmi iaitu Nabi Nuh A.S, Nabi Ibrahim A.S, Nabi Musa A.S.Nabi Isa A.S, dan Nabi Muhammad S.A.W.

Dari Abu Hurairah R.A : Nabi S.A.W bersabda, Allah tidak mengutus seorang Nabi melainkan orang itu pengembala kambing”. Para sahabat bertanya, ‘Dan anda sendiri bagaimana?’ Jawab Nabi S.A.W, “Ya, aku pernah gembala kambing orang Mekah dengan (upah) beberapa qirath (nama mata wang lama)”

Sekian sahaja daripada saya. Semoga apa yang saya kongsikan dalam artikel kali ini dapat membuka mata dan minda kita, untuk mencari, menggali lebih dalam supaya kita dapat mengenali dengan lebih mendalam para Rasul dan Nabi kita. Ada hikmahnya mereka diangkat menjadi Rasul dari kalangan pengembala kambing/biri-biri. Wallahu a’lam. Mohon pembetulan jika saya salah. Terima kasih. Salam ukhuwah fillah.

Rujukan:

1. 2pi.info, The Shepherd: Bible Usage, http://www.2pi.info/bible/studies/ShepherdStudy/view.html
2. Wayne Blank, Shepherds, http://www.keyway.ca/htm2000/20000719.htm
3. Yahoo! Answers, Who were some famous biblical shepherds?, http://answers.yahoo.com/question/index?qid=20090218204031AAr4Rwd
4. Wikipedia, Hajar, http://id.wikipedia.org/wiki/Hajar

Saturday, January 19, 2013

Peluang Dan Halangan Projek Ternakan Kambing, Part 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera, salam ternak 1Malaysia

setelah seketika, baru la dapat update. adapter laptop rosak, so kena la beli baru. tunggu adapter sampai, bil broadband plak sampai, maka, tak dapat la nak bayar bil, sebab portion bil dah digunakan untuk beli adapter. jadi, untuk artikel ni, saya sambung tajuk Peluang Dan Halangan Projek Ternakan Kambing dengan Part 2, Halangan @ Cabaran.


Kawalan Parasit

Parasit adalah musuh dalaman yang perlu kita atasi. Kambing merupakan kondominium untuk parasit. Parasit dalaman mahupun luaran. Jika kita tidak mengawal parasit ini, parasit ini akan membuatkan kita terkeluar dari trek penternakan kambing. Pengurusan parasit terutaman parasit dalaman perlu lebih baik dan efektif bagi memastikan kelangsungan industri ternakan kambing ini. Kebolehan untuk mengenal pasti tanda-tanda utama serangan cacing, merawat kambing yang dijangkiti, dan kebolehan untuk mengurangkan risiko kambing terdedah kepada parasit merupakan pengurusan parasit yang efektif. Terdapat cacing yang membina ketahanan terhadap ubat cacing akibat daripada penggunaan yang agresif. Daya tahan yang terbina ini juga akibat daripada penggunaan ubat yang tidak disahkan berkesan dan dos yang diberikan kurang daripada sepatutnya. Penggunaan herba-herba dan tumbuhan yang mengandungi anthelmintic, alkaloid dan tannin dapat digunakan bagi melawan cacing ini. Bagi mengatasi cabaran ini, penternak mesti  mempunyai pengetahuan mengenai cacing, jenis cacing, kitaran hidup cacing, tanda-tanda serangan cacing, strategi pencegahan dan banyak lagi. Kaedah pencegahan seperti kepadatan stok ternakan, pusingan pastura dan nutrisi yang lebih baik dapat mengurangkan kebergantungan kepada ubat cacing dan mengurangkan jangkitan cacing.

Pemasaran Daging Kambing

Pada masa kini, permintaan daging kambing semakin meningkat. Dengan kambing BBQnya, akikah, korban dan untuk kenduri kendara. Walaupun permintaan semakin meningkat, terdapat juga ladang ternakan yang mempunyai masalah untuk memasarkan produk kambing mereka. Penternak perlu memikirkan kos pemasaran, harga kompetitif yang dapat menampung pelaburan yang telah dikeluarkan untuk projek ternakan itu. Pemasaran daging kambing tidak menjadi masalah jika penternak mempunyai kemahiran yang cukup. Jaringan penternak antara penyumbang utama dalam memastikan kejayaan pemasaran produk kambing. Mewujudkan hubungan antara penternak dapat membantu penternak itu sendiri untuk memastikan ada aliran tunai masuk. Sama ada daripada pelanggan mahupun penternak lain. Banyak teknik-teknik pemasaran dan strategi pemasaran yang boleh dipraktikkan di ladang. Terdapat juga saluran pemasaran yang boleh dicuba oleh penternak. Promosi perlu dibuat dari semasa ke semasa. Kuasa viral marketing juga jangan dilupakan. Apa yang penting adalah untuk menawarkan produk kambing yang berkualiti dan bermutu tinggi disamping harga kompetitif dan servis yang dapat diberikan. Galakan memakan daging kambing juga menyumbang kepada peningkatan permintaan daging kambing. Orang ramai semakin sedar akan khasiat daging kambing mahupun susu kambing.

Kurang Kepakaran dan Maklumat

Kepakaran dalam ternakan kambing di Malaysia ini kelihatan tidak menyerlah seperti kepakaran dalam ternakan lain. Maklumat terkini mengenai penternakan kambing juga kurang diperolehi daripada organisasi berkenaan. Dari segi maklumat penternakan kambing, maklumat yang diperolehi penternak tempatan tidak setanding dengan maklumat yang diperolehi penternak luar negara seperti Indonesia. Penternak kita mestilah pandai mencari lubuk untuk mencedok ilmu. Sekali lagi, jaringan penternak kambing amat perlu supaya aliran maklumat itu sentiasa diperolehi. Penternak juga perlu mengambil inisiatif sendiri untuk belajar, mencari maklumat mengenai penternakan kambing ini. Walaupun kepakaran di Malaysia kurang, kita masih boleh menggunakan kepakaran-kepakaran luar negara yang banyak menjalankan kajian terhadap ternakan kambing ini. Apa yang sesuai, kita boleh praktikkan.

Kurangnya Bantuan Kewangan

Industri ternakan kambing ini bukannya satu industri yang baru, bahkan sudah lama menapak Malaysia. Tetapi banyak institusi kewangan takut untuk memberi bantuan kewangan kepada penternak kambing. Kejatuhan penternak kambing di zaman Pak Lah, banyak memberi kesan kepada penternak sekarang. Namun begitu, penternak kita masih boleh bangun dengan hasil usaha sendiri. Jaringan penternak, ilmu penternakan dan pemasaran yang baik, dan minat, mampu mengatasi masalah kewangan penternak. Ada caranya, tetapi penternak kita perlu lebih bijak dan lebih kreatif.

Sekian sahaja untuk artikel kali ini. Artikel seterusnya banyak berkait mengenai parasit dan cross breeding. Insya Allah. Semoga dengan ilmu yang dikongsikan dapat memberi gambaran serba sedikit kepada tuan-tuan mengenai peluang dan halangan dalam projek ternakan kambing. Halangan ni lebih kepada cabaran. Apa yang penting adalah untuk terus mencari ilmu penternakan kambing ini. Saya harap, blog Projek Kambing Muda ini dapat membantu tuan-tuan untuk terus maju dalam projek ternakan kambing. Terima kasih dan selamat maju jaya.

Rujukan:
Fidelis Okpebholo and Tyrell Kahan (2007), Opportunities and Challenges for Developing Small Ruminant Systems, Cooperative Extension Program, College of Engineering Sciences, Technology and Agriculture, Florida A&M University, Tallahassee, Florida (PDF)

Sunday, January 6, 2013

Blog Review: 123 Agro Farm

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Saya bermula mencari maklumat mengenai penternakan kambing sejak tahun 2009. Dan antara blog yang saya selalu lawati adalah blog 123 Agro Farm. Banyak maklumat yang saya perolehi daripada blog ini. Bahkah saya juga ada simpan artikel-artikel dari blog 123 Agro Farm ni.

Ini gambar dengan chatbox tahun 2013. tengok pada scroll, berada di atas, menunjukkan chatbox yang latest. (baru tadi print screen 11.06pm 6/1/2013)

Ini pula gambar chatbox tahun 2009. tengok pada scroll, atas juga, menunjukkan chatbox yang paling latest masa tu. kalau ikut date modified, tarikh dia 4/7/2009

Baka kambing yang diblogkan oleh 123 Agro Farm adalah baka Boer. Daripada sejarah Boer sehinggalah cerita mengenai Jim Boer. Blog ini hanya aktif tak sampai satu bulan pun. Mengikut tarikh-tarikh artikel yang ditulis, 25 hingga 30 Mac 2009 sahaja. Artikel yang ditulis adalah 13 artikel mengenai Panduan Penternakan Kambing, 9 artikel mengenai News dan 8 artikel mengenai Boers.

Blog 123 Agro Farm ini agak berwarna warni, jadi kepada yang tak biasa mungkin akan sakit mata membacanya. Antara artikel yang menarik mengenai Boer adalah Pembiak No. 1 Australia, Pengurusan Anak Kambing Baru Dilahirkan, dan The History of Boer Goats

Maklumat dalam blog 123 Agro Farm ini masih relevan untuk digunakan dan dipraktikkan sekarang, kerana kambing dulu dengan kambing sekarang, sama je. Tetap meragut dan mengembek. Hahaha. Jadi, kalau ada blog yang sekarang aktif, kemudian senyap sehingga tahun 2015, insya Allah, akan masuk dalam list review. Harap-harap blogger ternak sekarang akan terus aktif dalam berkongsi dan menyampaikan ilmu untuk kepentingan generasi akan datang.

Sekian sahaja review untuk blog 123 Agro Farm. Terima kasih kepada anda yang membaca. Semoga menjadi penternak berjaya. Sekian, salam ternak 1Malaysia. Majulah projek ternakan kambing untuk sasaran 2015.

Saturday, January 5, 2013

Peluang Dan Halangan Projek Ternakan Kambing, Part 1


Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam ternak 1Malaysia. Ternakan kambing mencapai saat-saat kegemilangannya di bawah tampuk pemerintahan mantan Perdana Menteri ke lima, Pak Lah. Pada zaman ini, dengan slogan penternakan adalah perniagaan, rakyat secara beramai-ramai mula menceburi bidang pertanian terutamanya bidang ternakan kambing. Dengan bantuan yang diterima Kerajaan, galakan daripada Kerajaan, dengan banyak peluang yang wujud, walau di saat itu anak kambing berusia 6 bulan pun enam tujuh ratus ringgit, banyak kandang-kandang kambing mula muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, setelah berakhirnya zaman Pak Lah, industri ternakan kambing semakin malap. Banyak kandang mula tutup.

Sumber gambar: Mek Mizah

Sejak kebelakangan ini, industri ternakan kambing ini mula menyinari persada tanah air. Dengan wujudnya pembiak-pembiak kambing tegar, pengimport-import besar, trend BBQ, dan kesedaran hikmah beraqiqah menjadi ternakan kambing semakin rancak. Sebenarnya, ternakan kambing ini banyak peluangannya walaupun terdapat halangan-halangan yang boleh melemahkan semangat. Dulu trend pasarannya adalah kambing baka, tetapi trend sekarang adalah kambing aqiqah dan kambing untuk BBQ. Orang ramai mula mencari ternakan kambing ini sebagai juadah mereka.

Suka untuk saya kongsikan dalam artikel ini antara peluang-peluang dan halangan-halangan projek ternakan kambing ini terutamanya untuk penternak berskala kecil. Peluang yang wujud antaranya adalah peningkatan permintaan daging kambing, kos permulaan yang rendah, kurang penggunaan tenaga kerja, pengawal rumpai yang baik, dan sifat semulajadi kambing yang prolifik itu sendiri. Antara halangan projek ternakan kambing ini pula adalah kawalan parasit dalaman, pemasaran daging kambing, kekurangan pakar dan maklumat, capaian terhad kepada bantuan kewangan.

Peningkatan Permintaan Daging


Seperti yang saya katakan sebelum ini, trend BBQ dan aqiqah menjadikan permintaan daging kambing semakin hari semakin meningkat. Menyediakan menu kambing BBQ menjadi sesuatu majlis menjadi semakin meriah dan bualan hangat. Tetamu pasti teruja jika mereka disajikan menu kambing BBQ. Mendapat potongan fresh secara terus dari tempat pemanggang merupakan satu pengalaman yang manis terutama mereka yang baru first time makan daging kambing. Terdapat juga menu-menu popular lain seperti kari daging kambing, sup kari kambing bahkah sekarang trend daging kambing masak lemak cili api juga semakin popular (bila la saya dapat merasa resepi senior saya ni). Kesedaran orang ramai mengenai kebaikan dan khasiat daging kambing juga merancakkan industri.

Daging kambing mempunyai kualiti nutrisi yang lebih baik daripada daging lain, mitos-mitos daging kambing ternyata tidak tepat. Orang Islam juga mula beralih untuk menjadikan kambing sebagai haiwan korban dan kesedaran akan hikmah beraqiqah yang banyak rahsianya, telah mula membuka mata para ibu bapa dalam pendidikan anak-anak. Perayaan-perayaan lain seperti Dassai (perayaan agama Hindu, meraikan Dewi Durga), Krismas dan Tahun Baru juga memerlukan daging kambing sebagai menu. Selain kaum Melayu, kaum India juga antara etnik yang banyak makan daging kambing. Kenapa? Mereka yang beragama Hindu tidak makan daging lembu, hanya minum susu lembu kerana lembu itu antara Tuhan mereka. Jadi, sebagai daging alternatif, daging kambing menjadi pilihan mereka.

Kos Permulaan Yang Rendah

sumber gambar: Photo Gallery

Untuk memulakan projek ternakan kambing sebenarnya tidak memerlukan kos yang tinggi. Kita banyak terpengaruh dengan isu-isu yang berlaku pada zaman kegemilangan ternakan kambing Pak Lah, kandangnya besar-besar, bertingkat-tingkat, harga mencecah puluhan ribu tapi akhirnya tutup macam itu saja. Orang ramai pada masa sekarang takut untuk memulakan projek ini kerana kurang kesedaran, kurang membuat pengiraan, kurang mencari ilmu dan kurang bertanya kepada mereka yang berpengalaman. Tanggapan ini sebenarnya salah, projek ternakan kambing terutama berskala kecil, tidak memerlukan kos yang banyak. Kenapa kita perlu buat kandang yang mahal? Ada pertandingan kandang kambing tercantik ke? Kalau ada, berapa hadiah? Boleh cover kos pembinaan kandang tu? Juara bertahan lima kali berturut-turut pun belum tentu boleh. Gunakanlah kayu terpakai, tukang sendiri, tak perlu tinggi-tinggi kalau kambingnya sedikit. Jika lebar kandang 10 kaki, tinggi kandang 1 meter pun sudah mencukupi, penyakar boleh je sampai untuk kaut taik. Masalah ammonia? Buat je lantai tanah curam sedikit, kemudian simen nipis, habuan untuk air kencing mengalir, cukup.

Beli kambing? Harga seekor lembu betina, katakan RM2000, dan harga seekor kambing betina RM350. Lebih baik beli 5 6 ekor kambing daripada seekor lembu betina. Ruang untuk ternak 5 6 ekor kambing betina pun tak seluas seekor lembu. Kambing pula mempunyai ketahanan untuk terus hidup walaupun makanannya terdiri daripada foraj yang kurang berkualiti dan mampu untuk hidup dalam suasana yang sukar. Ini bermaksud mereka tidak perlukan kandang yang terlalu fancy dan mahal, ada scan cap jari bagai, cukup sebagai teduhan waktu malam dan hujan. Peralatan pun tak payah la nak canggih-canggih sangat. Kalau nak bagi minum susu, beli je botol budak-budak tu. haha. Tapi kalau nak buat projek lembu pun takda masalah, permintaan tinggi juga. Lebih popular dari kambing. Masing-masing ada kelebihannya dalam pasaran.

Kurang Penggunaan Tenaga Kerja


Ruminan kecil lebih senang untuk diuruskan, tenaga kerja tidak sebanyak ternakan yang lebih besar seperti lembu. Bini boleh jaga, anak-anak boleh tolong gembala petang-petang. Melainkan kambing-kambing tu buat gila. Hahaha. Majoriti kambing ni jinak, tak ganas, kalau ada pun seekor dua yang agresif, dan ada yang melarikan diri daripada kita. Kena tanduk kambing ke kena tendang ke, takda la sakit sangat macam kena tendang dengan lembu. Mau terpelanting 10 kaki ke belakang, patah riuk. Naya je. Pelaburan dalam ternakan kambing secara tak langsung beri peluang pekerjaan kepada ahli keluarga. Anak boleh tolong jaga, bagi la upah, playstation sebijik ke, iPad sebijik ke, janji jaga kambing elok-elok. Jiran-jiran pun boleh tolong.

Pengawal Rumpai Yang Baik


Kambing boleh jadi mesin rumput, makan pokok-pokok rumpai, semak samun. Ketahanan mereka terhadap tumbuhan yang bertoksin juga memberi kelebihan kepada mereka ini. Jika lembu dan kambing menjadi tag team, confirm clear ladang anda atas bawah. Takdanya dia nak bergusti macam Rey Mysterio lawan Big Show. Dengan meletakkan kambing dalam ladang anda, anda dapat mengurangkan kos penggunaan racun, kos kawalan rumpai dan secara tak langsung menyuburkan tanah ladang anda. Lebih jimat, lebih selamat dan mesra alam.

Sifat Semulajadi Kambing Yang Prolifik

\

Di luar negara, apa yang saya perhatikan, kambing membiak ikut musim. Di Malaysia pun ada yang ikut musim, tapi yang nafsu terlampau tu, anak menyusu pun dah bunting lagi. Kambing betina matang, boleh beranak 3 hingga 4 kali dalam masa 2 tahun. Dengan setiap kelahiran kebiasaannya kembar 2. Rezeki lebih, kembar 3 atau 4. Rezeki kurang, seekor dan mungkin takda langsung. Bergantung kepada mood kambing dan juga pemakanan. Dalam 2 tahun, kambing boleh beranak 6 ekor, tetapi lembu boleh beranak dalam 2 ekor je. Inilah kelebihan kambing yang menjadikannya satu jenis ternakan yang dapat memberi pendapatan yang cepat dan lumayan. Biri-biri pun beranak seekor je selalu walaupun kebuntingan dan tempoh kelahiran dia sama dengan kambing. Dengan 5 ekor betina, dalam masa 2 tahun boleh menjadi 35 ekor. Hebat!

Ok, setakat ini dulu. Bersambung part 2 pula. Dah panjang sangat ni, nanti tepu kepala otak nak baca.  Jika ada lagi peluang yang saya tidak nyatkan, mohon jasa baik sidang pembaca sekalian untuk menambah di bahagian komen. Sekian sahaja, terima kasih kerana membaca. Semoga anda terus sukses dan majulah ternakan kambing untuk industri daging Malaysia.

Peluang Dan Halangan Projek Ternakan Kambing, Part 2

Rujukan:
Fidelis Okpebholo and Tyrell Kahan (2007), Opportunities and Challenges for Developing Small Ruminant Systems, Cooperative Extension Program, College of Engineering Sciences, Technology and Agriculture, Florida A&M University, Tallahassee, Florida (PDF)

Friday, January 4, 2013

Apakah Status Projek Kambing KAMUDA?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seperti tuan-tuan lihat, blog saya bertajuk projek kambing muda. Kenapa kambing muda? Sebab ada kebaikan makan daging kambing muda ini. Bermacam-macam resepi dapat dibuat dengan kambing muda yang kurang bau. Kari kambing, sup kambing, kambing masak lemak, kambing BBQ dan banyak lagi resepi. Orang Arab suka makan kambing muda. Bahkan lebih muda dari kambing muda yang dipanggil cabrito, banyak di makan di luar Negara antaranya Mexico. Cabrito ini adalah anak kambing yang masih menyusu, rumennya belum develop, dan dagingnya mempunyai isi yang cerah. Bahkan, ususnya masih berlemak dengan susu. Umur cabrito ini adalah antara 2 minggu hingga 3 bulan.

Saya berhasrat untuk memasarkan kambing muda suatu hari nanti. Saya nak pasarkan kambing muda lingkungan umur 5 ke 6 bulan dengan berat 25 ke 30 kilogram. Saya akan gunakan panduan Triple Cross Goat Production yang dikeluarkan oleh Philippine Council For Agriculture, Forestry And Natural Resources Research And Development (PCARRD). Kenapa? Sebab ianya praktikal dan panduan ini dikeluarkan berdasarkan operasi sebuah ladang di Filipina, Magsasaka Siycntista (MS) Josue Balderama. Panduan ini menggunakan baka tempatan fillipina, Anglo-Nubian dan Boer. Baka tempatan dan Anglo-Nubian menjadi grand parental line, dikacukkan untuk menghasilkan baka F1 50:50. Baka f1 ini pula kemudiannya dikacukkan dengan Boer sebagai maternal buck untungk menghasilkan baka kacukan 50% Boer, 25% Nubian & 25% tempatan.

Jadi, sekali skala saya akan google kambing muda. Antara page yang top adalah page Projek Kambing KAMUDA, JPV Melaka. Projek kambing KAMUDA ini adalah hasil usaha sama yang dibuat antara Haji Yaakob Bin Talib dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka (JPV Melaka). Projek ini mendefinisikan KAMUDA itu, sebagai kambing muda (of course la…) dan menternak bagi tujuan pengeluaran kambing muda. JPVM memberi khidmat sokongan teknikal   dan rawatan ternakan. Manakala ternakan diusahakan oleh  Haji Yaakob Bin Talib.

Objektif projek kambing KAMUDA ini adalah memasarkan kambing muda jantan matang untuk keluaran daging dan betina boleh dibiakkan pada berumur 6 bulan, meningkatkan keluaran daging merah, memaksimakan penggunaan tanah kerajaan, penggunaan ramuan PKC makanan utama, dan mengatasi masalah menyediakan bekalan rumput yang mencukupi kerana kurang tanah. Projek ini dimulakan pada Oktober 1996 (mak ai… saya baru darjah 1). Dengan permulaan 30 ekor kambing betina katjang dan 2 ekor pejantan (Jamnapari/Anglo Nubian). Ditegaskan di sini, saya tak minat Jamnapari. Kenapa tak minat? Sebab saya tak suka kebanyakan ciri-ciri baka Jamnapari. Kalau Anglo Nubian, saya suka, sebab dia ada warna yang boleh membantu meningkatkan jualan.

Saya tak rajin nak ulas secara terperinci page ni, boleh selanjutnya di sini, Projek Kambing KAMUDA  Nanti panjang pula artikel saya ini dengan maklumat dari page tersebu yang boleh tuan-tuan baca, faham dan nilai sendiri. Antara figure yang menarik perhatian saya adalah ciri-ciri kambing KAMUDA ini. Kambing KAMUDA yang berusia 6 bulan, secara puratanya, berat hidup jantan adalah 21 kg, betina 19 kg. Berat karkas 53%, jadi berat purata adalah 11.13 kg. Kenaikan berat juga kelihatan bagus dengan berat harian antara 100 ke 150 gram. Dan maklumat yang agak menarik adalah ciri-ciri daging kambing KAMUDA  iaitu kandungan lemak rendah, daging merah yang menarik, daging lembut dan manis, dan masakan tidak berbau hamis.

Namun begitu, apakah status projek kambing KAMUDA ini setelah sekian lama? Di dalam page ini, ada menyatakan inovasi yang dapat dilaksanakan dari tahun 1997 sehingga 2001. Lebih kurang lima tahun. Pada perenggan awal page ini ada menyatakan JPV Melaka memberi kebenaran kepada Haji Yaakob untuk mengusahakan tanah seluas 9 ekar dan sebuah kandang kambing di Air Hitam Darat, Masjid Tanah untuk tempoh lima tahun. Sekarang sudah tahun 2013. Adakah masih wujud kandang tersebut? Bagaimana operasinya sekarang? Atau Projek Kambing KAMUDA ini hanya setakat lima tahun tempoh kebenaran guna tanah sahaja? Persoalan ini hanya boleh dijawab oleh pengusaha Haji Yaakob ataupun JPV Melaka sendiri. Insya Allah, saya akan cuba dapatkan maklumbalas daripada mereka. Jika tuan-tuan rajin, bolehlah hubungi JPV Melaka di talian 06-232 5102, 232 5103 atau emel kepada noraini@melaka.gov.my. Jika projek ini mendatangkan hasil seperti yang dinyatakan dalam page iaitu jualan KAMUDA jantan adalah melebihi 400 ekor sepanjang tempoh projek, kenapa ianya tidak diteruskan bagi menyahut sasaran Kerajaan? ataupun ada page lain yang mempunyai update terkini dan projek itu masih berjalan. Wallahu a'lam.

Antara inovasi yang dicapai oleh Projek Kambing KAMUDA ini adalah KAMUDA Magic Box. Adakah ianya betul-betul ada magik? Petak ini bersaiz 9 kaki persegi ( 3 kaki x 3 kaki). Digunakan untuk menyimpan ibu anak, mudah diuruskan dan jima kawasan. Untuk saiz 9 kaki persegi, pada pandangan saya sesuai untuk baka katjang yang bersaiz kecik. Tetapi untuk induk kacukan, adalah sesuai dengan saiz minimum 12 kaki persegi, dan untuk lebih selesa adalah 16 kaki persegi. Petak ini sememangnya sangat bagus untuk digunakan bagi ibu dan anak. Induk bunting dimasukkan ke dalam kotak sebelum beranak. Tumpuan dapat diberikan kepada ibu bunting ini, makanan khas dapat diberikan tanpa berebut. Apabila anak lahir, anak akan lebih selamat daripada kawanan kambing dan bonding antara ibu dan anak akan menjadi lebih cepat. Dengan adanya petak ini, kita dapat memastikan anak kambing mendapat susu kolustrum secukupnya yang mana SANGAT-SANGAT penting untuk anak itu supaya ianya dapat terus hidup dengan jayanya. Petak ini juga digunakan untuk mengurung pejantan yang direhatkan, kambing yang sakit, untuk tujuan penggemukan dan juga mengurung kambing yang agresif.

Akhir sekali, hasil kacukan katjang dengan Anglo Nubian menghasilkan kambing muda yang cepat kenaikan beratnya. Dan jika kacukan kedua baka ini dikacuk dengan Boer, saya pasti kadar kenaikan berat harian mampu mencapai 150 gram sehari. Menjadikan sasaran saya 30 kg umur 5 ke 6 bulan menjadi realistik. Namun begitu, untuk menghasilkan triple cross breed berdasarkan panduan PCARRD, memerlukan lebih banyak masa dan modal untuk tercapai. Katakan Katjang kacuk dengan Nubian, bunting 150 hari. Kemudian tunggu anak betina besar bagi mendapat kesesuaian berat untuk dikacukkan dengan Boer, katakan 9 bulan. Bunting, 150 hari dan jual pada umur 5 bulan. Anggaran tempoh masa yang diperlukan adalah 20 bulan untuk mendapat hasil jualan pertama triple cross. Banyak komitmen perlu diberikan bagi mencapai matlamat saya untuk mengeluarkan produk kambing muda. Jadi, langkah pertama adalah membanyakkan induk katjang dan membeli pejantan Anglo Nubian fullblood atau purebred. Insya Allah akan tercapai matlamat saya ini. Apa yang penting adalah saya telah memulakannya. Sekian, untuk artikel kali ini. Terima kasih. Majulah ternakan kambing untuk industri daging Negara.

Rujukan:

Tuesday, January 1, 2013

Kambing Adalah Ruminan, Part 1

Assalamualaikum dan dalam sejahtera.

Untuk post pertama tahun 2013, yang juga jatuh pada 1/1/2013. eloklah kiranya jika kita mengenali dengan lebih terperinci mengenai kambing. Saya rasa terpanggil untuk menulis post berikutan melihat senior saya, Keratong Agrofarm, telah menulis satu post mengenai Sistem Pencernaan Ruminan.

Jadi, saya juga ingin merancakkan tajuk pencernaan ruminan ini dengan post saya sendiri. Jadi dalam penulisan ini saya telah merujuk kepada blog-blog, web-web dan dokumen berkaitan dengan pencernaan ruminan.

Saya seorang penternak kambing, jadi saya perlu lebih mengenali kambing ini. Tak kenal maka tak cinta. hehehe. Kambing adalah sejenis haiwan ruminan seperti lembu. Apa itu ruminan?

Ruminan adalah haiwan yang mempunyai perut yang ada empat bahagian perut. Bak kata orang Jawa, babat. Saya pasti anda semua pernah melihat perut lembu, dan mungkin antara anda pernah melihat perut kambing. Salah satu perut yang popular adalah perut kitab. Perut yang berlapis-lapis. Saya akan ceritakan kemudian apakah nama perut kitab ini. Jadi di bawah adalah anatomi sistem pencernaan kambing.



Gambar perut ruminan.

Gambar di atas dalam bentuk ilustrasi, jadi kesannya kurang. Di bawah adalah gambar yang sebenar perut ruminan.


Ruminan adalah haiwan yang mempunyai 4 bilik sistem pencernaan (polygastric) yang membolehkah haiwan tersebut mendapat majoriti zat-zat mineral dari foraj dan konsentrat. Sistem pencernaan ruminan termasuk juga mulut (ragut makanan), gigi (untuk mengisar makanan), lidah (deria rasa dan papillae), kelenjar air liur (memudahkan makanan ditelah), pharynx (laluan makanan yang mengelak makanan daripada masuk ke dalam paru-paru), dan esophagus (tiub yang membawa makanan dari mulut ke perut).

Kemudian, barulah makanan ini tiba di 4 chambers of ruminant. (macam the chamber of the secrect, Harry Potter, hahaha).

RETICULUM

Reticulum adalah perut yang mempunyai permukaan seperti sarang lebah. Bahagian ini membantu mengasingkan bendasing daripada bahan makanan.

Ruminan makan dan telan dulu. tidak terus mengunyah. Mereka akan mengunyah bila mereka berehat, melepak di kandang atau di bawah pokok. Memandangkan ruminan tidak terus mengunyah, bendasing seperti batu, pasir dan sebagainya akan terus masuk ke dalam perut. Semasa mereka mengunyah, bendasing ini akan mendap dalam reticulum dan dapat dihalang daripada memasuki sistem pencernaan yang lain. Apabila bendasing masuk reticulum, ia akan berada di situ selamanya. Jika terlalu banyak, kerosakan pada reticulum akan berlaku.

Seterusnya adalah
RUMEN

Organ ini membenarkan bakteria dan bahan kimia untuk mengurai serat. Dindingnya sangat tebal dan memenuhi kebanyakan bahagian kiri abdomen. Dinding rumen mengandungi papillae (yang boleh berukuran sehingga 1 cm panjang). Di sinilah terdapatnya bakteria yang mengurai serat. Papillae adalah biji-biji yang terdapat dalam gambar. Bila kita lapah perut dia, kita kena cuci perut tu, untuk buang bahan hitam yang melekat pada perut, itu la papillae.

Kemudian adalah
OMASUM

Inilah perut kitab yang saya katakan tadi, OMASUM. Omasum adalah bahagian yang bulat dan kuat. Organ ini menghancurkan makanan untuk proses penguraian kimia. Ini kalau masuk plastik, mau tak keluar dah plastik tu.

Akhir sekali adalah,
ABOMASUM.

ABOMASUM adalah sejenis perut yang sama dengan perut bukan ruminan, iaitu haiwan yang mempunyai satu perut. Dan semestinya seperti kita. Di sinilah berlakunya kebanyakan bahan makan diurai secara kimia. Terdapat pelbagai enzim pencernaan seperti pepsin, rennin, bile dan lain-lain lagi.

Seterusnya makanan yang telah melalui proses pencernaan akan memasuki USUS KECIL. Di sini, kebanyakan bahan makanan diserap ke dalam saluran darah. Terdapat tiga seksyen, duodenum, jejunum dan ileum. Bahan makanan tadi akan dimampat secara berterusan semasa melalui usus kecil dan menjadi lebih pejal. Kebanyakan proses penyerapan berlaku di bahagia duodenum dan jejunum.

Selepas itu, bahan makanan yang tidak digunakan, masuk ke dalam USUS BESAR. Di sini makanan yang tidak diperlukan bersedia untuk dibuang dari sistem badan. Kemudian bahan ini melalui RECTUM dan keluar melalu ANUS sebagai tinja.

Maka, berakhirlah proses pencernaan makanan tadi. Kesimpulannya, ruminan dapat menyerap protein dan tenaga daripada makanan kasar yang dimakan mereka. Berbanding dengan haiwan bukan ruminan, bagi mendapatkan zat-zat seperti yang diperolehi ruminan daripada, makanan tersebut adalah makanan yang telah diproses (dihancurkan, dan dikunyah sebelum telan. Sebab itu Rasulullah mengajar kita untuk mengunyah sehancur mungkin, ada riwayat mengatakan 40 kali kunyahan baru ditelan makanan tersebut. Makanan yang dikunyah dengan baik, dapat dicerna dengan baik, dan penyerapan zat juga baik.)

Ok, setakat ini sahaja untuk tajuk Kambing Adalah Ruminan, Part 1. Dalam tajuk ini, kita belajar bahagian-bahagian organ yang terlibat dalam proses pencernaan ruminan. Di dalam part 2, saya akan ceritakan lebih terperinci mengenai proses penguraian yang berlaku dalam perut ruminant. Insya Allah.

Rujukan:

The Ruminant Digestive System.ppt



Facebook